Prihatinkah KITA???


Lebih 11,000 pesakit di Malaysia masih menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ, dengan lebih 10,000 daripada jumlah itu memerlukan buah pinggang.

Ketua Koordinator Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) Datin Dr Lela Yasmin Mansor berkata jumlah pesakit yang memerlukan buah pinggang akan terus meningkat kerana lebih 4,000 orang mengalami kegagalan fungsi organ itu setiap tahun.

Beliau berkata terdapat dua pesakit menunggu organ jantung, paru-paru (6 orang) dan hati kira-kira 20 orang. "Ramai lagi yang sedang menunggu organ lain, dan kalau mereka tidak dapat, memang tidak ada harapan," katanya pada sidang akhbar mengenai Kempen Menderma Organ Kebangsaan 2011 anjuran Pergerakan Putera MIC dengan kerjasama NTRC dan Hospital Kuala Lumpur di Lobi Parlimen hari ini.

Dr Lela Yasmin berkata NTRC memerlukan lebih ramai penderma mendaftar bagi menampung keperluan bagi mendapatkan organ yang semakin mendesak. "Pada ketika ini, kira-kira 162,000 orang sudah mendaftar sebagai penderma, namun tidak semua boleh berbuat demikian kerana anda perlu mati dalam cara yang istimewa iaitu mati otak, dan kematian sebegini hanya berlaku sebanyak dua peratus," katanya.

Beliau berkata individu yang berniat untuk menderma organ juga perlu berbincang dengan keluarga agar tidak timbul kesulitan apabila mereka meninggal dunia. Sementara itu, Kamalanathan menyasarkan 100 orang dari seluruh negara akan mendaftar sebagai penderma menerusi kempen yang berlangsung selama sebulan mulai hari ini.

"Setakat ini, tujuh negeri telah dikenal pasti dan diharap semasa kempen ini, rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa akan membantu kita untuk mendaftar sebagai penderma agar kita dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya.

-Kuala Lumpur, 31 Mac 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.commerupakan pelanggan rasmi Bernama.

Comments

Popular Posts